KUANTAN – Seorang warga emas yang menarik pukat bersama isterinya lemas selepas dihanyutkan ombak di Pantai Sepat, di sini semalam.
Difahamkan semasa kejadian, mangsa Nasir Nurdin, 66, berjalan ke tengah laut untuk menarik pukat namun dihanyutkan ombak sebelum isteri mangsa meminta bantuan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa ditemukan di hujung tanjung oleh orang awam yang mencari kepah kira-kira pukul 6.30 petang.
“Mangsa telah diangkat oleh orang awam dan kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes lemas berkenaan dan mayat mangsa telah dituntut oleh keluarga. – KOSMO! ONLINE