PETALING JAYA – Pelakon Bella Astillah membuatkan ramai teruja apabila muncul di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi memberi sokongan moral kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq pada prosiding pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan empat pertuduhan melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) hari ini.
Sepanjang berada di Istana Kehakiman, Bella, 31, yang manis muncul dengan baju kurung itu tidak berhenti memberi senyuman manis kepada setiap kamera yang merakamnya.
Sepanjang berada di pekarangan mahkamah, kemesraan Bella dengan ibu serta kakak bekas Menteri Belia dan Sukan itu antara yang paling mencuri perhatian ramai.
Rata-rata memuji penyanyi tersebut kerana bijak menyesuaikan diri dengan keluarga Syed Saddiq.
“Alahai sejuk hati lihat hubungan baik Bella dengan ibu Syed Saddiq. Mesra betul.
“Kemunculan yang paling semua tak sabar, paling menemani dan beri sokongan selain keluarga.
“Terima kasih Bella sebab bagi vitamin kepada netizen pagi ini. Semoga semua urusan Syed Saddiq dipermudahkan,” usik netizen.
Selain pujian, ruangan komen kebanyakan hantaran mengenai mereka juga dibanjiri dengan doa daripada netizen yang berharap kemenangan akan berpihak kepada Syed Saddiq.
Bukan kali pertama, Bella sebelum ini juga pernah hadir menemani Syed Saddiq di mahkamah sama pada 19 dan 20 Mac lalu.
Fenomena gandingan Bella Astillah-Syed Saddiq dan digelar sebagai BASS masih lagi menjadi topik hangat perbualan ramai dalam media sosial sehingga hari ini.
Biarpun tidak memberi jawapan pasti atau mengesahkan bercinta, keluarga kedua-dua personaliti popular itu memberikan restu sekiranya gosip membabitkan mereka menjadi realiti. – KOSMO! ONLINE