fbpx

Tayar pesawat Garuda Indonesia tercabut ketika mendarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan roda pesawat tercabut di luar landasan. - Istimewa

JAKARTA – Penumpang sebuah pesawat Garuda Indonesia mengalami detik cemas apabila salah satu rodanya tercabut ketika mendarat di lapangan terbang, lapor laman berita Kompas hari ini.

Kejadian membabitkan penerbangan GA-288 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Banten menuju ke Lapangan Terbang Raja Haji Fisabilillah, Tanjung Pinang, wilayah Riau.

Berdasarkan video tular yang dimuat naik di aplikasi X semalam, sebuah tayar pesawat dilihat bergolek dengan laju di luar landasan ketika pesawat mendarat.

Turut didengari adalah suara kru penerbangan yang meminta penumpang duduk serta kekal bertenang.

Pengarah Operasi Garuda Indonesia, Tumpal M Hutapea berkata, pesawat Boeing 737-800 yang membawa 161 penumpang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Rabu (semalam), pukul 7.20 pagi (waktu tempatan). 

Ia kemudian mendarat di Lapangan Terbang Raja Haji Fisabilillah pada pukul 8.35 pagi (waktu tempatan).

Tumpal berkata, semua penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan selamat walaupun tayar pesawat tercabut. 

Menurutnya, pesawat itu telah memenuhi standard piawaian operasi (SOP) dan keselamatan penerbangan. 

“Proses penggantian tayar pesawat juga telah dijalankan melalui pemeriksaan rapi bagi memastikan pesawat tersebut layak beroperasi. 

“Garuda Indonesia mengesahkan bahawa semua prosedur pemeriksaan pra penerbangan telah dijalankan dengan teliti oleh pasukan teknikal yang diberi kuasa,” jelasnya.

Tambah Tumpal, hasil pemeriksaan menunjukkan tayar longgar tidak menyebabkan gangguan lain kepada keseluruhan sistem pesawat. 

“Komponen tayar yang mengalami masalah telah diganti dengan alat ganti baharu mengikut piawaian kesesuaian operasi,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI