fbpx

Syed Saddiq arah ‘clear’ RM1 juta bimbang disita – Pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Rayuan, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini berhujah tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali ‘clearkan’ wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun itu adalah ‘ketidakjujuran.’

Semasa berhujah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata, Syed Saddiq mengarahkan saksi pendakwaan ke-13 (SP13) itu untuk ‘clearkan’ wang kerana bimbang wang tersebut akan disita oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagaimanapun, tertuduh dalam pembelaannya menyatakan dia tidak pernah mengeluarkan arahan itu. Semasa pemeriksaan balas peguam, SP13 bersetuju bahawa beliau menerima arahan tersebut daripada Syed Saddiq.

“Ditanya peguam apa maksud ‘clearkan’, SP13 menjawab jangan simpan duit itu di dalam rumah saya dan ditanya ‘clear’ maksudnya ‘dispose’?, SP13 menjawab ‘Ya’,” katanya.

Sementara itu seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan ketika berhujah mengatakan pembelaan Syed Saddiq berhubung pembayaran balik bagi kempen Piliharaya Umum ke-14 (PRU-14) adalah afterthought (perkara difikirkan kemudian).

Ini kerana perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini adalah sebagai ‘reimbursement’ (pembayaran balik) kepada perbelanjaan kempen berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI