KUANTAN – Tindakan pantas pasukan peronda Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai hampir RM15 juta dalam satu operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), semalam.
Rampasan besar itu dibuat ketika Operasi Utama Zon Timur dijalankan pada pukul 10 pagi hingga pukul 1 petang di LPT1 arah ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan bermula apabila pasukan peronda menerima maklumat awam mengenai sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton putih dipandu melawan arus dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Pasukan peronda segera membuat pemantauan dan menemui kenderaan tersebut di Kilometer (Km) 211 LPT1 arah ke Kuala Lumpur dalam keadaan ditinggalkan di bahu jalan.
“Pemeriksaan di bahagian bonet belakang kenderaan menjumpai tujuh plastik hitam mengandungi 140 bungkusan plastik kristal jernih bertulisan ‘Chinese Pin Wei’ dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan di sebelah tempat duduk penumpang hadapan menemukan 15 lagi plastik hitam mengandungi 300 bungkusan bahan sama.
“Secara keseluruhan polis merampas 22 plastik hitam mengandungi 440 bungkusan dadah dengan anggaran berat 468.3 kilogram dan nilai rampasan mencecah RM14.98 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE