JAKARTA – Satu klip video tular menunjukkan penduduk tempatan mengambil wang kertas yang bertaburan di jalan raya di Balangan, wilayah Kalimantan Selatan, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku di Jalan Ahmad Yani, daerah Paringin Selatan semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah memaparkan orang ramai berpusu-pusu mengutip wang kertas bernominasi 50,000 rupiah (RM14) yang bertaburan di atas jalan.
Apa yang menarik perhatian adalah mereka sebenarnya membantu untuk mengembalikan wang kepada pemilik dan bukannya mencuri.
Menurut perakam, sampul surat berisi wang itu tercicir daripada seorang penunggang motosikal.
Rakaman itu mencatatkan lebih 700 tanda suka dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Penduduk Kalimantan memang baik dan bersikap jujur,” kata seorang netizen.
“Kalau di tempat lain, duit itu akan lesap sekelip mata,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI