NEWCASTLE – Newcastle United melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Crystal Palace 5-0 di St. James Park awal pagi tadi dan semakin hampir untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Empat gol Newcastle diperoleh menerusi Jacob Murphy, Harvey Barnes, Fabian Schar dan Alexander Isak selain satu jaringan sendiri daripada kapten Palace, Marc Guehi dalam aksi berlangsung tanpa kehadiran pengurus, Eddie Howe akibat radang paru-paru.
Kemenangan keenam berturut-turut dalam semua pertandingan itu membuka jurang lima mata buat Newcastle ke atas Chelsea yang berada di tangga keenam memandangkan kedudukan lima teratas akan melayakkan diri ke pentas UCL musim depan.
Palace ketika ini kekal di tangga ke-12, namun fokus mereka ketika ini lebih kepada aksi separuh akhir Piala FA menentang Aston Villa hujung bulan ini.
Newcastle terlebih dahulu akan bertemu Villa pada Ahad ini dalam perlawanan penting kerana lawan itu baru sahaja tersingkir di suku akhir UCL selain terdesak menang bagi memperbaiki kedudukan mereka di tangga ketujuh.
Namun, selaku juara Piala Liga Inggeris musim ini, Newcastle kini mula meninggalkan pencabar lain dalam usaha memastikan kedudukan lima teratas, berbekalkan semangat daripada kejayaan menamatkan kemarau 70 tahun tanpa kejuaraan domestik bulan lalu.
“Ia memberikan kami keyakinan tinggi tetapi kami tahu apa matlamat musim ini iaitu untuk menamatkan liga setinggi mungkin. Harap pemain kekal konsisten dan terus mempamerkan persembahan cemerlang,” kata penolong pengurus Newcastle, Jason Tindall.- AGENSI