LOS ANGELES – California menyaman kerajaan pusat berhubung pelaksanaan tarif, kata peguam negeri berkenaan semalam, memberikan alasan Presiden Donald Trump tiada hak melaksanakannya.
Langkah itu merupakan tentangan paling kuat terhadap penguatkuasaan tarif Trump yang mendorong kemelesetan pasaran saham global dan mencetuskan ketidaktentuan perniagaan di seluruh Amerika Syarikat (AS).
“Ia (tarif) adalah matlamat peribadi paling buruk dalam sejarah negara ini.
“Ia juga salah satu perkara paling memusnahkan yang kita alami dalam sejarah moden Amerika,” kata Gabenor California, Gavin Newsom.
California yang mempunyai 40 juta penduduk dan menjana 14 peratus ekonomi AS, dijangka paling terjejas dalam ramalan pakar-pakar ekonomi tentang tarif Trump.
Negeri California akan menjadi ekonomi kelima terbesar dunia jika ia sebuah negara merdeka.
“California akan hilang pendapatan berbilion-bilion dolar sekiranya dasar tarif Trump mengecilkan perdagangan antarabangsa,” katanya.
Trump menjadikan tarif sebagai alat untuk mengembalikan kesimbangan dengan rakan-rakan dagangan AS.
Saman semalam mengemukakan hujah bahawa Akta Kuasa Kecemasan Ekonomi yang digunakan Trump bagi melaksanakan tarif setinggi 145 peratus tidak memberikannya kuasa menguatkuasakan tarif ke atas barangan yang memasuki AS.
“Kami meminta mahkamah mengekang Trump dan mendukung perlembagaan negara,” kata Peguam Negeri California, Rob Bonta. – AFP