KAJANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwaan bagi melarang mana-mana pihak termasuk media untuk melaporkan kes seorang lelaki berusia 39 tahun menumbuk seorang pelajar yang tular di media sosial.
Permohonan itu hanya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh ketika mengemukakan cadangan jaminan selepas pertuduhan dibacakan dan direkodkan.
Pendakwa raya itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik alasan kenapa pihaknya memohon larangan tersebut.
Peguam bela, Syarifudin Zaid yang mewakili tertuduh tidak membantah terhadap permohonan larangan tersebut atas alasan keselamatan anak guamnya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Fatin Dayana Jalil membenarkan permohonan tersebut.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan di bahagian hidung selepas dipukul seorang lelaki dalam kejadian akibat perselisihan faham semasa memandu di Saujana Impian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof sebelum ini berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan selisih faham semasa memandu antara pengadu dan suspek tersebut.
Menurutnya, dalam kejadian ini, pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan retak tulang hidung akibat dipukul dan siasatan mendapati, pengadu tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan tindakan saman trafik. – KOSMO! ONLINE