MANCHESTER – Manchester United terpaksa membayar harga mahal terhadap pelaburan mendapatkan Joshua Zirkzee dari Bologna dengan harga £36 juta (RM180 juta) awal musim ini apabila dia terpaksa berehat panjang akibat masalah hamstring.
Zirkzee yang kini menjadi pemain utama di bahagian serangan, dijangka terlepas baki musim ini sekali gus memeningkan kepala barisan kejurulatihan United menghadapi kemuncak saingan ketika ini.
Penyerang berusia 23 tahun itu telah membuktikan ketajamannya dengan meledak tujuh gol buat United setakat ini termasuk satu jaringan ketika aksi suku akhir pertama Liga Europa menentang Lyon minggu lalu.
Di bawah kendalian Ruben Amorim, prestasi Zirkzee dilihat semakin menyerlah walaupun masih gagal menyudahkan beberapa peluang terbaik di hadapan gawang gol lawan.
Kehadirannya jelas memberi impak positif kepada United, namun kecederaannya kini menjadi halangan besar buat United untuk menghasilkan jaringan dalam baki saingan selepas ini.
Kini, United dikaitkan dengan beberapa penyerang muda berbakat termasuk Liam Delap pada jendela perpindahan sleepas ini sebagai persediaan menggantikan Zirkzee seandainya dia gagal pulih sepenuhnya pada awal saingan musim depan.
Zirkzee sendiri berhasrat untuk menamatkan musim ini dengan lebih banyak sumbangan gol, namun terpaksa menerima kenyataan bahawa kecederaan menghalang hasrat tersebut, sekali gus menjejaskan impaknya terhadap pasukan musim ini. – AGENSI