PETALING JAYA – Perdana Menteri memaklumkan mencapai kata sepakat bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra untuk menyegerakan pelaksanaan projek-projek utama melibatkan kedua-dua negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu termasuk pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang-Sungai Golok dan projek tebatan banjir di Sungai Golok.
Beliau berkata, pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang-Sungai Golok mencapai kemajuan penting tatkala negara menyaksikan detik bersejarah permeteraian perjanjian pembinaan jambatan persahabatan itu.
“Perjanjian ini ditandatangani Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mewakili Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Anwar berkata, dalam mesyuarat dua hala bersama delegasi Malaysia dan Thailand, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Shinawatra atas komitmen memperkukuh hubungan antara dua negara.
“Saya menghargai kesediaan Kerajaan Thailand untuk meneruskan kemajuan terhadap kesepakatan sedia ada, yang menyentuh usaha memperkasa ekonomi di wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand.
“Thailand kini merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan mencecah lebih dolar Amerika Syarikat (AS$) 25 bilion pada tahun lalu. Insya-Allah, pelaksanaan projek-projek strategik ini berpotensi menyumbang kepada lonjakan nilai dagangan dua hala mencecah AS$30 bilion menjelang 2027,” katanya.
Dalam pada itu katanya, mereka juga sempat menyentuh isu tarif Amerika Syarikat dan mengulangi komitmen untuk mendepaninya secara kolektif di peringkat ASEAN menerusi pendekatan rundingan yang adil dan mampan. – KOSMO! ONLINE