DOHA – Hasrat juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Jorge Martin kembali mencabar podium terpaksa ditangguhkan apabila dia kini ‘berehat panjang’ selepas mengalami kecederaan serius dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar pada Ahad lalu.
Martin yang baru sahaja pulih daripada kecederaan sebelum ini, terbabit dalam insiden ngeri di pusingan ke-14 apabila terjatuh, malah hampir dirempuh pelumba lain, Fabio di Giannantonio ketika terbaring di atas litar.
Lebih malang, pemeriksaan lanjut mendapati bintang Aprilia itu mengalami kecederaan serius dengan retak 11 tulang rusuk.
Kini, Martin menjalani rawatan di hospital di Doha dengan saluran tiub dipasang di bahagian kanan tubuhnya bagi mengeluarkan udara dari paru-paru.
“Keadaan malam kedua di hospital lebih baik sedikit tetapi dia (Martin) masih dalam kesakitan yang amat sangat,” kata sumber terdekat Aprilia.
Difahamkan, Martin perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya dua minggu di Qatar sebelum dibenarkan pulang ke Sepanyol.
Bagaimanapun, pakar perubatan menyatakan tempoh pemulihannya dijangka memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dia kembali menunggang jentera MotoGP.
“Kalau semuanya berjalan lancar, dia mungkin berangkat ke Sepanyol dalam tempoh masa dua atau tiga minggu, tetapi bergantung kepada tahap kesakitan dan keadaan paru-parunya,” tambah sumber tersebut.
Insiden kemalangan tersebut menambah duka buat Martin yang telah mengalami tiga kecederaan dalam tempoh 65 hari, termasuk dua kemalangan teruk selepas kembali daripada pemulihan sebelum ini.
Sebelum ini, Marc Marquez pernah menasihatkan Martin agar tidak tergesa-gesa kembali berlumba dan mengakui kesilapannya sendiri pada 2020 apabila beraksi terlalu awal selepas cedera. – AGENSI