fbpx

1,250 pelajar IPT terima sumbangan Ziarah Kasih PPZ-MAIWP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im ketika berucap pada Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP bersama IPT.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,250 pelajar dari 10 buah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Wilayah Persekutan menerima sumbangan RM200 seorang daripada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan berjumlah RM250,000 itu diharapkan dapat meringankan beban pelajar meskipun untuk jangka masa pendek.

“Saya percaya, ada dalam kalangan pelajar ini yang masih terpaksa mengikat perut dan berlapar akibat kekangan kewangan.

“Keadaan ini bukan sahaja mampu menjejaskan kesihatan mereka, malah boleh memberi kesan kepada tumpuan dan prestasi akademik,” katanya ketika berucap pada Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP bersama IPT yang diadakan di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Cheras di sini hari ini.

Mohd. Na’im berkata, berdasarkan ijtihad para ulama’ khususnya di Malaysia, para pelajar dan penuntut ilmu dikategorikan sebagai salah satu golongan yang berhak menerima zakat, sama ada diklasifikasikan di bawah kategori asnaf fakir dan miskin atau fisabilillah.

“Program dan inisiatif seperti ini merupakan satu usaha yang amat baik dalam memastikan lebih ramai golongan asnaf dapat disantuni.

“Ia bukan sahaja berupaya mencerminkan keprihatinan pusat zakat terhadap kebajikan masyarakat, malah juga menguatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap institusi kutipan dan agihan zakat selepas ini,” katanya.

Terdahulu, program Ziarah Kasih PPZ-MAIWP yang diadakan sepanjang tahun 2025 melibatkan pelbagai segmen bantuan merangkumi lima pakej agihan khas pemegang wakalah MAIWP.

Antaranya Program Iftar Perdana di Dataran Merdeka, Program Kash Intelek MAIWP (Sumbangan kepada Pelajar IPT), Program Kasih Medik MAIWP (Sumbangan Tambang Perjalanan kepada Pesakit Kronik), Program Kasih Komuniti (Sumbangan Barang Basah), Program Kash Intelek MAIWP (Sumbangan kepada Pelajar Sekolah Menengah).

Bagi Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP bersama IPT, program tersebut melibatkan UPTM, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa.

Turut terlibat ialah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kolej Islam Antarabangsa, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI