TAIPEI – Seorang wanita warga Singapura ditahan di daerah Yunlin, Taiwan kerana disyaki mengeluarkan wang berjumlah sekitar NT$7.46 juta (RM1 juta) dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM), lapor laman berita Stomp hari ini.
Wanita berusia 27 tahun itu juga disyaki bersubahat dengan individu lain untuk melakukan kegiatan penipuan dan pengubahan wang haram.
Timbalan Ketua Penyiasat Polis Dounan Yunlin, Hong Cai-xing berkata, wanita yang hanya dikenali sebagai KHT ditahan di sebuah pusat tahanan daerah barat Taiwan.
Polis mendapati dia mengeluarkan sejumlah besar wang tunai dari ATM di Yunlin pada 7 Mac lalu dan memaklumkan kepada pendakwa raya daerah serta pegawai imigresen Taiwan.
Dia kemudian dihalang daripada meninggalkan pulau itu, kata pejabat pendakwa raya Yunlin.
Siasatan awal mendapati, ketika wanita itu tiba di Taiwan, dia dibawa oleh seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun. – AGENSI