JOHOR BAHRU – Polis memburu seorang pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang bertindak memandu secara agresif ketika melalui sekatan jalan raya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian pada pukul 8.50 malam itu, dua anggota polis dari Balai Polis BSI yang sedang bertugas di Point Duty 8A, Laluan Bas telah menahan pacuan empat roda dinaiki suspek berusia 27 tahun.
Menurutnya, suspek ditahan selepas menggunakan laluan tidak dibenarkan sebelum lelaki berkenaan tiba-tiba memecut kenderaan secara berbahaya.
“Suspek melarikan diri sejauh kira-kira tujuh kilometer sebelum meninggalkan kenderaan dan meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan, polis menjumpai sebatang kayu golf dan sebilah pisau berukuran 18 sentimer,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raub berkata, hasil semakan ke atas rekod pemilik kenderaan itu mendapati, suspek memiliki lapan rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Suspek kini diklasifikasikan sebagai orang dikehendaki polis dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalan tugas, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kewujudan atau lokasi suspek diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Radhiah Ahmad ditalian 013-5665710 atau talian Hotline IPD JBS ditalian 07-2182323,”katanya.
Terdahulu, tular sebuah video sebuah Mitsubishi Triton yang dipanda secara mengundur dan berbahaya ketika cuba ditahan beberapa individu sebelum melarikan diri.-KOSMO! ONLINE