SEREMBAN – Tiga suspek lelaki yang terlibat dalam kejadian tetak seorang mangsa di sebuah pusat beli-belah di sini, berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas video kes tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, tiga suspek berusia 35 hingga 47 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang semalam di Port Dickson dan senjata parang yang digunakan telah dirampas.
“Semakan rekod jenayah mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah merangkumi pelbagai kesalahan termasuk jenayah kekerasan. Suspek kini ditahan reman selama tiga hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang lelaki berusia 40 tahun parah selepas diserang beberapa lelaki dipercayai ada kaitan dengan gangsterisme dan dendam. – KOSMO! ONLINE