IPOH – Tiada pilih kasih terhadap mereka yang melanggar peraturan berucap di dalam masjid atau surau di negeri ini, sama ada pemimpin daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu adalah menurut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tidak mahu penglibatan ahli politik dalam institusi masjid dan surau kerana khuatir perpecahan umat Islam.
“Semua orang termasuk Menteri Besar terikat dengan titah tuanku supaya masjid dan surau tidak digunakan oleh mana-mana ahli politik (untuk berucap).
“Saya telah maklumkan kepada dia (bekas wakil rakyat) bahawa kita terikat dan tak boleh lakukannya. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah ambil tindakan terhadap Pengerusi dan Setiausaha masjid berkenaan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Sallehuddin Abdullah (Pas-Selinsing) berkenaan usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan institusi masjid di Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Soalan itu dibangkitkan susulan tular dalam media sosial berkenaan seorang bekas wakil rakyat dikatakan memberi ucapan di sebuah masjid di Kuala Kangsar.
Dalam perkembangan lain, ketika sidang akhbar selepas Sidang DUN, Saarani berkata penggantungan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria tidak bererti penambahan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Jelasnya, naratif juga boleh dibawa semasa kempen PRK iaitu penggantungan tersebut disebabkan pelanggaran peraturan persidangan DUN, dan bukannya satu bentuk penganiayaan. – KOSMO! ONLINE