FIGURA penuh karisma, Che Puan Jeslina Hashim pernah menggegarkan industri seni tanah air sekitar era 1990-an dengan suara merdu dan lakonan berkesan.
Nama wanita genit itu tidak hanya gah di pentas hiburan, malah bertakhta setia di hati pemuja bakatnya sehingga ke hari ini.
Namun, selepas sekian lama menyepi, penantian kemunculan semula Jeslina yang ditunggu peminat ramai nampaknya perlu dikuburkan,
Bukan kerana hilang semangat mahupun enggan lagi disoroti lensa kamera sebaliknya wanita berusia 47 tahun itu mempunyai alasan sendiri.
Impian kembali menghibur terpaksa diketepikan, Jeslina tidak mampu menyanyi seperti dahulu kerana mempunyai masalah pada peti suara.
Ujar pelantun lagu Selintas Kesan itu, masalah tekak dialaminya sejak sedekad lalu berpunca daripada penyakit gastrik yang menyebabkan penghasilan asid berlebihan sehingga menjejaskan peti suara.
“Saya memang rindu sangat nak menyanyi tapi saya sebenarnya ada masalah tekak dan doktor beritahu semua itu berpunca akibat gastrik. Kata doktor, ada penghasilan asid berlebihan mengganggu peti suara.
“Sejujurnya, memang susah saya mahu menyanyi, lagu sendiri pun saya tak boleh nyanyi dalam nada dan ‘key’ asal.
“Harap suatu hari nanti masalah tekak ini akan baik dan saya dapat peluang kembali menyanyi,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon Aku No. 1 itu, dia tidak pernah mendapatkan rawatan susulan kerana tidak merancang untuk aktif semula dalam dunia nyanyian mahupun menyertai program pertandingan nyanyian.
Apa pun, dia menegaskan bahawa cinta terhadap muzik tetap hidup dan menjadi terapi buatnya di dalam rumah.
“Saya hanya menyanyi di rumah untuk suami. Mengenai rawatan pula, saya tidak terfikir untuk rawat sebab tiada perancangan serius dalam nyanyian.
“Dalam kondisi saya saat ini, kalau ditawarkan untuk menyertai pertandingan nyanyian sekali pun, saya memang tak boleh.
“Macam mana nak menyanyi dengan banyak genre muzik semua itu. Barangkali minggu pertama saya dah terkeluar,” dedahnya.
Paling penting, ibu kepada dua anak itu hanya mahu fokus kepada keluarga dan perniagaan. Buat masa ini, suaminya, Tunku Eddy Nasruan bagaimanapun sentiasa menyokong andai dia mahu kembali ke dunia hiburan.
“Suami okey kalau saya mahu menyanyi atau berlakon, saya rasa dia lebih gembira jika saya kembali aktif,” dedah Jeslina yang mendirikan rumah tangga bersama Tunku Eddy pada Ogos tahun lalu.
Sebelum itu, dia pernah berkahwin dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun berpisah pada Mac 2013. Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Micah, 17, dan Kiera, 15 tahun.