JOHOR BAHRU – Seorang pelajar berusia 16 tahun yang ditahan direman selama tujuh hari sebelum ini bagi membantu siasatan kes menyebarkan gambar suntingan berunsur lucah melibatkan pelajar dan bekas pelajar sebuah sekolah persendirian di Kulai direman lagi hari ini.
Perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Ahad ini ke atas pelajar tingkatan empat itu dibenarkan Majistret Nabilah Nizam selepas permohonan baru dikemukakan oleh pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pagi tadi.
Turut ditahan reman bersama suspek bawah umur itu ialah remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi tujuan yang sama.
Permohonan reman itu dipohon bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) merujuk kepada kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, terutama berkaitan dengan penyebaran kandungan jelik, lucah, palsu, mengugut atau mengganggu melalui internet atau media elektronik.
Minggu lalu, remaja bawah umur itu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting gambar lucah menggunakan wajah mangsa dan mengedarkannya di media sosial untuk dijual kepada orang awam.
Kes itu terbongkar selepas seorang wanita tempatan berusia 18 tahun membuat laporan polis selepas mendapati wajahnya telah digunakan dalam gambar lucah yang tular di laman sosial.
Susulan itu, lembaga pengarah sekolah itu menjelaskan bahawa salah seorang pelajar yang menjadi dalang dalam insiden berkenaan telah dibuang sekolah. – KOSMO! ONLINE