KOTA BHARU – Kegembiraan seorang remaja bermandi-manda di tali air bersama rakannya berakhir tragedi apabila dia dijumpai lemas di Kampung Tunjong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 13 tahun disedari lemas di tali air tersebut selepas terjerlus di kawasan lubang yang dikorek untuk menyedut air.
Seorang penduduk kampung, Hilmi Mohd., 32, berkata, mangsa ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira pukul 5.10 minit petang selepas dimaklumkan oleh rakan remaja itu yang sempat naik ke tebing tali air.
Menurutnya, mangsa sudah tidak sedarkan diri ketika dijumpai di dalam lubang yang dikorek untuk memasang enjin penyedut air ke sawah.
“Saya tiba di lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan oleh penduduk kampung. Beberapa penduduk ketika itu melakukan selaman di kawasan mangsa lemas.
“Ambulans tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hilmi memberitahu, difahamkan mangsa tidak pernah datang ke tali air di sini selain tidak mengetahui terdapat lubang yang sudah dikorek untuk menyedut air ke sawah di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE