KOTA BHARU – Dua remaja perempuan di Tanah Merah dan Kuala Krai membuat laporan polis baru-baru ini selepas menjadi mangsa sumbang mahram bapa dan dua bapa saudara mereka sejak tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kedua-dua mangsa itu berbuat demikian selepas membaca pendedahan beliau di media mengenai peningkatan kes sumbang mahram di Kelantan baru-baru ini.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa berusia 13 dan 14 tahun.
“Bagi kes Tanah Merah, mangsa mendakwa dirogol bapa dan dua bapa saudaranya, manakala kes Kuala Krai pula melibatkan kes sumbang mahram dengan bapa.
“Kedua-dua mangsa mendakwa mereka menjadi mangsa rogol oleh ahli keluarga sendiri sejak tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, empat suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an sudah ditangkap untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kedua-dua mangsa mengaku takut untuk membuat laporan polis mengenai kejadian menimpa mereka.
“Selepas membaca laporan kes sumbang mahram yang didedahkan saya minggu lalu, mangsa sendiri tampil membuat laporan terhadap kejadian yang menimpa mereka,” ujarnya.
Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua remaja hamil selepas melakukan perbuatan sumbang mahram dengan sepupu dan bapa saudara di lokasi berasingan di Kelantan baru-baru ini.
Siasatan mendapati, kejadian berlaku selepas mangsa meminta untuk melakukan perhubungan dengan saudara mereka sendiri.
Kes pertama melibatkan mangsa berusia 15 tahun yang mengandung selepas melakukan perbuatan sumbang mahram dengan sepupunya berusia 11 tahun.
Lebih mengejutkan, remaja perempuan tersebut yang meminta untuk melakukan hubungan terlarang itu.
Satu lagi kes melibatkan remaja berusia 13 tahun yang hamil hasil perhubungan dengan bapa saudaranya berusia dalam lingkungan 20-an. – KOSMO! ONLINE