MADRID – Juara bertahan, Real Madrid berkeyakinan tinggi mereka mampu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) meskipun sedar perlu meledak sekurang-kurangnya empat gol untuk menewaskan Arsenal.
Pemain sayap Real, Lucas Vazquez melaungkan amaran kepada Arsenal menjelang aksi timbal balik suku akhir yang akan berlangsung di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Vazquez memberi peringatan bahawa pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu masih belum layak ke separuh akhir biarpun memiliki bekalan selesa selepas menang 3-0 pada pertemuan pertama minggu lalu.
Pemain berusia 33 tahun itu percaya aksi di laman sendiri mampu membantu Los Blancos melakukan kebangkitan ajaib biarpun mengakui ia merupakan sesuatu yang sukar untuk direalisasikan.
“Ia bukan satu perkara mudah tetapi jika ada pasukan yang mampu bangkit daripada keputusan seperti ini, itu adalah kami. Saya percaya penyokong akan membantu kami menang di laman sendiri.
“Saya boleh pastikan bahawa pertemuan Rabu nanti (awal pagi esok) akan menjadi satu perlawanan yang berbeza berbanding minggu lalu. Kami akan bermain sebagai satu pasukan dan cuba untuk melayakkan diri,” katanya.
Real mendapat suntikan motivasi menjelang aksi menentang Arsenal apabila mereka kembali merapatkan kedudukan dengan Barcelona bagi perebutan takhta La Liga selepas menewaskan Alaves 1-0 pada Ahad lalu.
Tonggak pertahanan Real, Raul Asencio turut menyuarakan keyakinan mereka mampu mencipta ‘magis’ dengan menyingkirkan The Gunners sekiranya semua pemain mempamerkan karakter sebenar.
“Kami akan bekerja keras pada perlawanan itu, jadi kami semua perlu mendapatkan mood terbaik. Apa yang penting adalah kami perlu bermain sebagai satu pasukan dengan mentaliti kemenangan,” ujarnya. – AGENSI