GEORGE TOWN – Tindakan beberapa wanita menari dalam keadaan separuh bogel di atas pentas sempena pesta Songkran di Batu Ferringhi, baru-baru ini mencetuskan kemarahan ramai netizen selepas rakaman video insiden itu tular di media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik di platform Facebook, sekumpulan wanita dilihat menari dengan pakaian menjolok mata di atas pentas utama sambil diperhatikan ratusan pengunjung yang hadir ke acara tersebut.
Acara yang dipercayai berlangsung di kawasan pantai itu turut menampilkan pancuran air dan muzik rancak, menyerupai suasana pesta air terkenal dari Thailand.
Apa yang menjadi perhatian ialah kelakuan tidak senonoh peserta wanita, yang disifatkan tidak menghormati budaya tempatan dan sensitiviti masyarakat Islam.
Difahamkan, pesta tersebut dianjurkan pada Sabtu dan Ahad lalu oleh pihak swasta bersempena sambutan Songkran dan ia bermula pada pukul 4 petang hingga lewat malam.
Menurut iklan pada poster penganjuran, orang ramai yang ingin menyertai pesta air ini perlu membeli tiket pada harga antara RM60 hingga RM120 seorang.
Selain aktiviti bermain air dan persembahan muzik, turut diadakan jualan makanan Thai dan persembahan api.
Penganjuran acara itu tersebut sebelum ini turut mendapat bantahan Pas Pulau Pinang.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, program itu jelas mempromosikan acara yang mencolok mata dan merendahkan martabat nilai insani yang dimuliakan oleh Tuhan. – KOSMO! ONLINE