SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat swasta mengalami kerugian RM2.65 juta selepas terpedaya pelaburan tidak wujud di aplikasi Facebook.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan penipuan itu diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor daripada mangsa merupakan warga tempatan berusia 54 tahun di daerah Shah Alam.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah menekan pautan iklan tawaran pelaburan itu yang kemudiannya disambungkan ke aplikasi WhatsApp.
“Seterusnya, mangsa telah berhubung menerusi panggilan telefon dengan suspek dikenali Wendy Lim sebagai tenaga pengajar dalam pelaburan itu.
“Mangsa telah diberikan penerangan berkenaan pelaburan dan dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp dengan mangsa telah mengikuti pelaburan tersebut kira-kira dua bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek telah meminta mangsa mendaftar sebagai pelabur baru di sebuah platform.
Tambahnya, pada peringkat awal mangsa telah mendapat pulangan sebanyak RM100,000.
“Ini membuatkan mangsa lebih yakin dan telah membuat 44 transaksi kemasukan wang berjumlah RM2.65 juta ke sembilan jenis akaun berbeza.
“Setelah semua transaksi dibuat, mangsa mendapati keuntungannya hampir RM8 juta ditunjukkan pada platform tersebut,” ujarnya.
Jelas Hussein, mangsa menyedari ditipu selepas apabila perlu membuat melakukan pelbagai pembayaran cukai untuk mengeluarkan wang pelaburan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE