fbpx

Pemandu BMW mengaku tak salah bawa kereta mabuk, langgar mati ‘rider’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZI KANG tidak mengaku salah atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian di Mahkamah Majistret Jenayah, Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian penghantar makanan, Ahad lalu.

Tertuduh, Kok Zi Kang, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa memandu kereta BMW 530i di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian mangsa, Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37.

Kesalahan dilakukan di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya di sini pada pukul 2.10 pagi, 13 April lalu. Zi Kang turut didakwa mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan kenderaan dipandunya.

Kesalahan dilakukan pada pukul 4.30 pagi hari sama di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei ini.

Pada Ahad lalu, Kosmo! melaporkan seorang penghantar makanan maut selepas dirempuh kereta jenis BMW ketika membantu seorang lelaki Myanmar yang terlibat dalam kemalangan berhampiran Taman Desa Jaya.

Mohd. Taufik Ariff yang baru mendirikan rumah tangga pada September lalu disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, berkata, sebelum kejadian dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan malam bersama rakan-rakan pasangannya di Desa Cemerlang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI