SHAH ALAM – Perbuatan 14 ibu bapa memalsukan butiran pengesahan kelahiran bayi-bayi untuk menjadi anak sah mereka terbongkar apabila ditahan menerusi Ops Birth di sini, semalam.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 28 hingga 49 tahun itu ditangkap antara pukul 12.30 tengah hari hingga 6.30 petang di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Mereka dipercayai melakukan permohonan palsu tersebut antara tahun 2015 hingga 2023.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua suspek mendapatkan khidmat daripada ejen bagi menguruskan dan menyediakan dokumen-dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital sekitar Selangor.
Katanya, ini termasuk buku pink atau rekod kesihatan ibu yang mempunyai pengesahan doktor.
“Kesemua suspek ini dikatakan membayar serendah RM5,000 hingga RM20,000 bagi tujuan mendapatkan pengesahan dokumen itu.
“Mereka ini difahamkan tidak mempunyai anak namun mahu mendapatkan anak dengan palsukan dokumen sijil lahir,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Sumber memaklumkan, siasatan mendapati kesemua suspek hanya mengambil anak-anak pada peringkat bayi yang baru dilahirkan ibu bapa asal mereka.
“Namun, kita masih menyiasat sama ada bayi-bayi itu daripada yang tidak sah taraf atau warga asing. Kesemua suspek telah membuat permohonan MyKid dan sijil kelahiran anak kepada Jabatan Pendaftaran Negera dengan mengemukakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LM01).
“Bagaimanapun, ia mengandungi butiran matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi-bayi sedangkan tiada rekod kelahiran bayi-bayi tersebut di hospital -hospital yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini selepas perintah dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Permohonan reman dibuat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SRPM, Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi.
Manakala tertuduh diwakili Peguam Ong Jain Kai, A. Lingeswaran, M. Pani, C. Aiswarya Devi dan Sean Dudley.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan kesemua suspek itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE