fbpx

Pak Lah disayangi semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR bertarikh 2 April 2009 ketika Tun Abdullah (tengah) menaiki kenderaan selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan di Kuala Lumpur. – AFP

KUALA LUMPUR – Pemergian Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia yang mengenang jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui negara.

Pesara kerajaan, Muhammad Marzuki, 62, berkata, dia tidak dapat melupakan jasa Allahyarham yang pernah membantu menguruskan pemindahan penduduk dari Flat Pekeliling ke Flat Desa Rejang pada tahun 2006.

“Jasa yang paling saya kenang ialah semasa Pak Lah sendiri menguruskan hal pemindahan Flat Pekeliling ke Flat Desa Rejang yang saya tinggal sekarang.

“Pemergian beliau amat memberi kesan kepada saya kerana jasa yang dilakukan itu sangat besar ketika itu,” katanya di Masjid Negara semalam.

Dia antara ribuan orang ramai yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah.

Muhammad berkata, atas jasa serta sumbangan Perdana Menteri Kelima itu sehingga kini dia hidup selesa dengan menetap di Flat Desa Rejang bersama keluarganya.

Sementara itu, penjawat awam, Anuar Mohammad Hanafiah, 56, berkata, dia mengagumi perwatakan Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang pe­mimpin yang prihatin terhadap rakyat.

“Apa yang paling saya kagumi dengan Pak Lah ini, beliau tidak memecahbelahkan antara kaum. Beliau juga kembali menyatukan orang Melayu dengan UMNO ketika ramai kembali menyokong parti itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aini Salwa Jamaludin, 51, menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh berjiwa Islamik dan memiliki kepimpinan berhemah tinggi.

“Semasa pentadbiran beliau, pendekatan Islam Hadhari diper­kenalkan dan ia memberi impak besar terhadap pemba­ngunan negara secara menyeluruh.

“Nilai-nilai Islam sangat dite­rapkan dalam urus tadbir negara ketika itu,” ujarnya.

Aini Salwa turut berkongsi kenangan manis apabila berpeluang menyertai satu acara antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun 2006 semasa Allahyarham masih menjadi Perdana Menteri.

“Ia merupakan momen paling diingati dalam hidup saya dan saya tidak akan lupakan pengalaman itu,” tambahnya.

Di Seberang Perai, Pengerusi Kariah Masjid Al Jamiul Badawi, Datuk Shariful Azhar Othman berkata, kemajuan yang dikecapi masa kini bukan sahaja dinikmati penduduk setempat malah pembangunan terancang dilengkapi kemudahan dan infrastruktur dapat dimanfaatkan komuniti.

“Apabila Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri, penduduk merasai kemakmuran dan selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri, kita boleh tengok Kepala Batas berubah daripada sebuah pekan koboi menjadi sebuah bandar.

“Terima kasih Pak Lah atas jasamu. Kita menikmati jasa daripada Pak Lah yang bukan sahaja memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas sebanyak tujuh penggal malah menjadi Perdana Menteri antara tahun 2003 hingga 2009,” katanya ketika ditemui usai solat isyak di masjid tersebut kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis tahlil dan bacaan Yasin akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Kami turut bercadang ke Kuala Lumpur bagi memberi penghormatan terakhir (semalam) kepada Allahyarham,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Mohamad Saleh Rashid, 72, berkata, beliau kagum akan kepintaran Allahyarham Pak Lah dalam membangunkan kawasan Permatang Bertam.

Katanya, dalam kepesatan pembangunan di kawasan Bertam Perdana, Allahyarham tetap mengekalkan suasana dan imej kampung terbabit.

“Ini menjadi menjadi keistimewaan buat penduduk di sini kerana masih berpeluang tinggal di kawasan kampung yang wujud dalam bandar.

“Saya mengenalinya sejak ke­cil lagi dan sememangnya kehilangan Allahyarham amat dirasai orang Kepala Batas,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI