JEMPOL – Polis Negeri Sembilan memaklumkan keadaan mangsa culik membabitkan wang tuntutan tebusan RM2 juta di Seremban baru-baru ini berada dalam keadaan baik serta sudah diserahkan kepada keluarga selepas mendapat pemeriksaan di hospital.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil pemeriksaan doktor, mangsa hanya mengalami lebam dan tiada kecederaan serius.
“Sehingga kini, mangsa dalam keadaan baik dan kita juga akan terus memantau keadaan mangsa termasuklah keselamatannya. Dari segi siasatan masih berjalan dan kita buat semakan dari semua segi termasuklah sekiranya ada saki baki suspek yang masih belum ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Jempol dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Jempol, di sini, hari ini.
Pada 14 April lalu, enam individu termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun direman 14 hari sehingga 27 April bagi membantu siasatan berhubung kes culik remaja dengan permintaan wang tebusan RM2 juta, di sini, 10 April lalu.
Seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes culik seorang remaja perempuan di Seremban, ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi awal pagi 14 April lalu. – KOSMO! ONLINE