MALE – Kerajaan Maldives mengumumkan larangan kemasukan warga Israel ke negara itu sebagai tanda solidariti terhadap penduduk Gaza, lapor agensi berita Anadolu.
Presiden Mohamed Muizzu mengesahkan pindaan kepada Akta Imigresen Maldives selepas diluluskan oleh Majlis Rakyat semalam.
Menerusi catatan di laman Facebook, Muizzu menyifatkan pindaan itu sebagai gambaran jelas pendirian mereka terhadap kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.
Tambah beliau, negara di Lautan Hindi itu mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.
“Ratifikasi ini mencerminkan pendirian tegas kerajaan sebagai tindak balas terhadap kekejaman berterusan dan tindakan genosid yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin, katanya.
Jurucakap Pejabat Presiden memaklumkan larangan tersebut berkuat kuasa serta-merta. – AGENSI