DOHA – Impian Jorge Martin untuk kembali bersaing di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas pulih daripada kecederaan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila juara dunia disahkan retak enam tulang rusuk ekoran kemalangan pada Grand Prix (GP) Qatar pada Ahad lalu.
Aksi di Litar Antarabangsa Lusail itu adalah penampilan sulung Martin musim ini selepas diberi lampu hijau, namun hasrat untuk kembali mencabar kedudukan podium musnah apabila dia terjatuh sewaktu pusingan ke-14, di selekoh kanan berkelajuan tinggi pada Turn 12.
Sebelum insiden itu, pelumba Aprilia Racing tersebut menunjukkan prestasi luar biasa biarpun masih belum pulih sepenuhnya.
Martin menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-14, hanya 0.15 saat (s) daripada layak ke sesi kedua dan hampir ke kelompok 10 terbaik dalam perlumbaan sprint sebelum berakhir di tempat ke-16.
Menerusi kenyataan rasmi, Aprilia mengesahkan Martin mengalami pneumotoraks iaitu kebocoran udara di sekitar paru-paru dan kini ditahan di hospital di Doha untuk menjalani prosedur saliran udara serta pemantauan rapi sehingga paru-parunya kembali stabil.
“Imbasan CT menunjukkan peningkatan pneumotoraks. Prosedur saliran udara diperlukan dan dia perlu berada di bawah pemantauan rapi sehingga paru-paru pulih sepenuhnya,” menurut kenyataan pasukan.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati Martin mengalami keretakan enam tulang rusuk kanan belakang, dari tulang rusuk pertama hingga keenam yang dijangka memerlukan pemulihan panjang.
GP Qatar turut menyaksikan prestasi hambar buat Aprilia secara keseluruhan, apabila pelumba terbaik mereka, Marco Bezzecchi hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, ketinggalan 14.3s di belakang juara, Marc Marquez. – AGENSI