GUA MUSANG – Jalan lencongan sementara di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini ditutup kepada semua kenderaan ekoran kejadian runtuhan tanah sepanjang 30 meter susulan hujan lebat petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, jalan terbabit terpaksa ditutup berikutan laluan tersebut sangat berisiko untuk dilalui semua kenderaan.
Katanya, kejadian itu dikesan berlaku kira-kira pukul 7 malam tadi akibat hujan lebat yang berlaku sejak petang tadi.
“Mengikut nasihat pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan terbabit perlu ditutup kepada semua kenderaan kerana terdapat pergerakan air bawah tanah akibat pembetung yang pecah.
“Makluman yang diterima juga mendapati runtuhan itu melibatkan sepanjang 30 meter dan cuaca hujan dikhuatiri memburukkan lagi keadaan struktur laluan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, dia berharap pengguna laluan itu dapat menggunakan laluan alternatif FT66 iaitu Jalan Jelawang-Sungai Sam yang dicadangkan oleh pihak JKR.
Katanya, tindakan segera sudah diambil oleh pihak berwajib dengan membuat pemasangan awal penghalang plastik dan meletakkan papan tanda jalan ditutup kepada semua kenderaan.
“Sebelum ini, kita sudah membuat pemantauan dan mendapati jalan itu berisiko untuk dilalui pengguna jalan raya.
“Bagaimanapun, pengguna jalan raya tidak mempunyai pilihan kerana laluan alternatif agak jauh. Pihak konsensi sudah melakukan kerja awalan untuk membaik pulih jalan namun akibat hujan berterusan menyebabkan pembetung pecah dan berlaku runtuhan baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE