IPOH – Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak susulan kenyatannya berhubung insiden bendera China pada Oktober lalu.
Keputusan itu berkuatkuasa hari ini hasil mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta mendapat sokongan majoriti ahli DUN.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid membacakan keputusan tersebut dan Razman diarah keluar serta-merta dari persidangan DUN.
Sebelum meninggalkan dewan, Razman yang akur dengan keputusan tersebut menzahirkan ucapan menjunjung kasih Titah Diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam serta mengucapkan selamat Hari Raya kepada semua.
Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol itu dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.
Ahli DUN Gunung Semanggol itu pada masa sama melihat keputusan tersebut memberi kesempatan kepadanya untuk membantu jentera parti Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning. – KOSMO! ONLINE