SEBERANG PERAI – Dua beradik antara enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pemandu lori pada 6 April lalu.
Tertuduh, S. Vimalraj, 29; M. Rubenesan, 26, P. Kesvaraj, 25, N. Yogeswaran, 26 dan dua beradik S. Ranjeev Ram, 26, Sree Ram, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun menggunakan parang dan topi keledar yang mungkin boleh mengakibatkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bestari, Nibong Tebal dalam daerah Seberang Perai Selatan pada pukul 3.30 pagi, 6 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam S.Yuvaarshana.
Muhammad Rifaie ketika dalam prosiding tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa, saksi pendakwaan serta lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mei depan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan enam individu direman selepas menyerang seorang pemandu lori sehingga menyebabkan kecederaan parah pada bahu, tapak tangan dan belakang badan akibat diserang menggunakan parang dan topi keledar. -KOSMO! ONLINE