MELAKA – Sindiket curi kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) dikesan semakin aktif di negeri ini dengan kebanyakan trak pikap dipercayai telah dijual semula ke negara jiran pada harga serendah RM10,000 seunit.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mendedahkan, kecurian melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux, Fortuner dan Ford itu dilaporkan berlaku hampir setiap minggu sejak awal tahun ini.
Katanya, sehingga kini sebanyak 15 buah kenderaan pacuan empat roda dilaporkan hilang di seluruh negeri, dengan Melaka Tengah mencatatkan jumlah kes tertinggi.
“Kebanyakan kenderaan yang dicuri akan dibawa ke utara tanah air sebelum diseludup keluar ke melalui Thailand untuk dijual ke beberapa negara ketiga seperti Laos dan Kemboja,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Melaka di sini, hari ini.
Menurut Dzulkhairi, kenderaan terbabit dipercayai menjadi buruan kerana permintaan tinggi di luar negara, terutamanya model keluaran Toyota dan Ford.
“Suspek hanya ambil masa tiga minit untuk curi sebuah kenderaan dipercayai menggunakan alat ‘jammer’ bagi mengelak sistem pengesanan GPS. Kecurian tidak hanya berlaku pada waktu malam, malah ada juga kes dilaporkan berlaku pada siang hari di tempat terbuka seperti parkir pusat beli-belah dan kawasan perumahan,” ujarnya.
Jelasnya, sehingga kini, pihak polis belum membuat sebarang tangkapan namun siasatan rapi sedang dijalankan bagi menumpaskan sindiket berkenaan. – KOSMO! ONLINE