GEORGE TOWN – Beberapa kawasan di sekitar Sungai Pinang di sini, dilanda banjir kilat awal pagi tadi selepas hujan lebat berterusan lebih dari sejam.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Jalan P. Ramlee dan Kampung Masjid, yang menyaksikan limpahan air sehingga memasuki beberapa rumah penduduk.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Timur Laut (DTL), satu pasukan yang terdiri daripada enam anggota telah digerakkan ke lokasi pada pukul 1.40 pagi bagi meninjau situasi.
“Tinjauan mendapati paras air telah naik dan memasuki beberapa kediaman. Penduduk dipindahkan ke kawasan lebih tinggi dalam rumah masing-masing serta membantu mereka memindahkan barangan dan kenderaan ke lokasi selamat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, banjir mula reda sekitar pukul 3 pagi tadi apabila hujan berhenti dan setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Dalam pada itu, di Seberang Perai, banjir kilat turut berlaku melibatkan kawasan di Taman Siakap dan setakat pukul 6 pagi tadi, air masih belum surut, namun tiada mangsa dipindahkan. – KOSMI! ONLINE