fbpx

Unit dron di tiga IPD indeks jenayah tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein ketika memeriksa perbarisan kehormat pada majlis penyerahan "Baton Of Command" di IPD Klang Selatan, hari ini.

KLANG – Polis Selangor bercadang memperluaskan unit dron di tiga buah Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang mempunyai indeks jenayah yang tinggi di negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini meliputi IPD Klang Utara, Serdang dan Sungai Buloh dalam membantu mengekang dan membasmi jenayah di lokaliti berkenaan.

Katanya, bagaimanapun ia bergantung kepada peruntukkan kewangan perolehan.

“Buat masa ini, selain di IPD Klang Selatan turut digunakan di IPD Petaling Jaya dalam pencegahan jenayah.

“Jadi, kesannya sangat bagus sejak penggunaan di Klang Selatan didapati tiada kes ragut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Klang Selatan antara Asisten Komisioner Cha Hoong Fong kepada Asisten Komisioner Ramli Kasa.

Hussein menjelaskan, dron yang digunakan berfungsi secara automatik dengan membuat pemantauan seperti mana telah diselaras atau ditetapkan pihak polis.

“Bateri habis, dron akan turun balik dan caj sendiri sebelum naik melakukan pemantauan semula.

“Jadi, ia amat efektif dalam aspek pencegahan jenayah ini,” katanya.

Terdahulu, Hussein dalam ucapan majlis berkenaan itu memuji kejayaan telah dicapai Hoong Fong sepanjang memegang Ketua Polis Daerah Klang Selatan termasuk penubuhan unit dron.

“Ia menggunakan model Matrice 30 Thermal bernilai RM450, 000 hasil sumbangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Komuniti untuk tinjauan kawasan pentadbiran IPD ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI