KLANG – Polis membuka kertas siasatan kes seorang lelaki disyaki menculik remaja perempuan yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi di sini, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis.
“Kertas siasatan itu dibuka Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan manakala kes culik dibawah Polis Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penculikan remaja perempuan pada 10 April lalu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi di sini.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu berlaku selepas pasukan polis mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira yang mana kenderaan itu dikesan telah digunakan dalam kes penculikan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dipetik berkata, siasatan mendapati suspek berusia 21 tahun itu antara individu yang terlibat dalam kes culik remaja berusia 16 tahun di Avenue, Seremban kira-kira pukul 5.45 petang, 10 April lalu.
Katanya, kumpulan penculik itu meminta tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa dengan sejumlah RM280, 000 termasuk barang kemas telah dibayar pihak keluarga.
Mangsa dibebaskan di Nusari Bayu, Sendayan, Negeri Sembilan kira-kira pukul 8.30 malam sehari selepas penculikan itu.
“Suspek telah bertindak melawan arus dan melanggar kenderaan polis serta berjaya dipintas sebelum berlaku insiden berbalas tembakan dengan suspek mati di lokasi kejadian,” katanya.
Pemeriksaan terhadap kereta suspek menemui sepucuk pistol semiauto Colt dan parang.
Ketika ditanya berapa banyak tembakan dilepaskan selain mengenai mangsa dalam insiden itu, Hussein menegaskan perkara itu masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE