PETALING JAYA – Dalam diam-diam, pelakon Syazwan Zulkifly kembali menjalin hubungan bersama bekas tunang yang juga seorang pramugari, Syawariah Zulkifli.
Menurut Syazwan, hubungan dia bersama bekas tunang sudah lama berbaik iaitu sejak 2020, biarpun pernah putus disebabkan beberapa masalah kecil.
“Saya sudah berkawan balik dengan bekas tunang cuma belum beritahu kepada semua mengenai hubungan ini kerana bimbang takut tidak jadi (kahwin).
“Saya putus dengan bekas tunang pada tahun 2020 dan pada tahun itu juga kami berbaik semula sehingga sekarang,” katanya yang kini kembali menyinar menerusi filem Blood Brothers.
Malah, pelakon yang terkenal dengan karakter antagonis itu juga mungkin akan mengakhiri zaman bujang pada tahun ini.
“Insya-Allah, saya dan dia ada merancang, mungkin tahun ini kami akan berkahwin jika tiada apa-apa halangan,” katanya.
Sementara itu, Syazwan juga merancang untuk segera berkahwin disebabkan pemergian ibunya yang meninggal pada 8 Februari 2025.
“Salah satu sebab berbaik ini adalah kerana ibu saya sendiri. Ibu saya paling selesa dengan bekas tunang dan sebelum dia meninggal pun, ibu memang ada rancang untuk satukan saya dan bekas tunang.
“Sebenarnya sejak tahun lepas lagi ibu mahu kami nikah, tapi disebabkan ada halangan kami tidak jadi kahwin,” ujarnya.
Terdahulu, Syazwan dan Syawariah pernah mengikat tali pertunangan pada 31 Ogos 2019 selepas 10 tahun berkawan baik.
Namun, tali pertunangan terputus pada 31 Mac 2020. – KOSMO! ONLINE