PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan atlet yang tersenarai dalam program Road to Gold (RTG) perlu menunjukkan komitmen jangka panjang terhadap negara, termasuk pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menerima pelaburan besar daripada kerajaan.
Dalam sidang media RTG di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, Hannah menekankan mana-mana atlet, sama ada di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau profesional yang menandatangani perjanjian dengan RTG, mesti bersedia untuk memberi sepenuh komitmen sehingga tamat kitaran Olimpik.
“Atlet tak boleh sewenang-wenangnya buat keputusan untuk berhenti, tukar pasangan atau tarik diri sesuka hati. Negara melabur untuk mereka dan kita mahu disiplin serta akauntabiliti,” kata Hannah.
Hannah turut menyebut secara khusus mengenai Tang Jie-Ee Wei menyatakan pasangan tersebut telah menunjukkan peningkatan prestasi hasil pelaburan bertahun-tahun dan sebarang perubahan mengejut harus dielakkan.
“Kita telah laburkan banyak untuk pasangan ini. Mereka dah mula membuahkan hasil. Jadi saya nak BAM dan pemain betul-betul fikir sebelum buat keputusan drastik,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan satu perbincangan akan diadakan dalam tempoh dua minggu ini bersama atlet bagi mendapatkan komitmen penuh daripada mereka sebelum kontrak baharu dimuktamadkan.

Sementara itu, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan RTG sebagai satu peluang besar buat atlet negara termasuk mereka yang bergerak secara profesional untuk mendapat sokongan menyeluruh dalam usaha memburu pingat emas Olimpik.
“Saya harap semua atlet akan menandatangani dan menyertai RTG. Ini bukan program untuk ambil nama atau penajaan mereka semata-mata. Ini bantuan ikhlas dari fisioterapi, nutrisi hingga ke peralatan.
“Tidak kisah mereka berada dalam BAM atau profesional, tetapi ini adalah cara yang adil untuk emua atlet kita,” jelas bekas pemain No.1 dunia itu. – KOSMO! ONLINE