KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu memohon peruntukan sebanyak RM36 juta untuk membaiki Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, Hulu Terengganu yang runtuh pada musim tengkujuh baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu dipohon kepada Kementerian Ekonomi menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Antara skop cadangan pembaikan laluan itu adalah membina jambatan baharu sepanjang 150 meter (m) yang runtuh sebelum ini.
“Selain itu, kerja-kerja membaik pulih cerun perlu dilakukan selain membina sistem perparitan dan laluan sementara serta mengalih insfrastruktur utiliti dan jalan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Dr. Mamad Puteh (Pas-Kuala Berang) berhubung kerosakan laluan yang sering digunakan untuk ke Gua Musang, Kelantan dan Cameron Highlands, Pahang.
Sebelum ini, Kilometer 187 hingga 189 Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris terpaksa ditutup untuk semua kenderaan berikutan runtuhan dan mendapan tanah sejak 28 November lalu. Kejadian itu berlaku ekoran hujan lebat pada Monsun Timur Laut. – KOSMO! ONLINE