KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bertitah agar bendera negeri Perlis dikibarkan separuh tiang pada hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis, di sini hari ini.
Kata Mohd. Shukri, beliau mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Tun Abdullah serta seluruh rakyat negara ini atas kehilangan seorang negarawan yang cukup disegani, baik di dalam mahupun luar negara.
“Kita amat terasa kehilangan ini kerana Tun Abdullah merupakan seorang Perdana Menteri yang tenang, merendah diri serta sangat disayangi oleh rakyat,” katanya.
Katanya, terlalu banyak jasa yang telah dirancang dan dilaksanakan sepanjang pentadbiran Tun Abdullah yang kini memberi impak besar kepada rakyat daripada segi ekonomi, pembangunan modal insan dan pelbagai aspek lain.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian Perdana Menteri kelima itu kerana pernah bekerja bersama Allahyarham ketika mula membangunkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Jasa Tun Abdullah amat besar dalam pembangunan negeri Perlis, khususnya menerusi NCER yang bertujuan meningkatkan pendapatan negeri dan kini sedang rancak dilaksanakan, sekali gus berpotensi mengubah landskap ekonomi Perlis,” katanya. – KOSMO! ONLINE