SAKHIR – Pelumba McLaren, Oscar Piastri menunjukkan gaya penuh meyakinkan apabila mendominasi saingan Grand Prix (GP) Bahrain dari mula hingga akhir untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat McLaren daripada empat perlumbaan musim ini.
Pelumba muda sensasi Australia itu tampil garang sejak lampu hijau dinyalakan apabila langsung tidak memberi peluang kepada pencabar lain untuk mendekatinya dan menamatkan perlumbaan dengan jurang besar iaitu 15.5 saat di hadapan George Russell dari Mercedes.
Ia adalah podium juara kali kedua buat dirinya selepas menjuarai GP China sebelum ini sekali gus menjadi mesej jelas kepada pencabar lain dalam perebutan kejuaraan dunia musim ini.
Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris yang sebelum ini memenangi GP Australia, turut menampilkan perlumbaan hebat apabila naik ke tempat ketiga biarpun dikenakan penalti lima saat, menjadikan detik manis buat McLaren dengan dua pelumba mereka di atas podium.
Pertarungan merebut podium tempat kedua juga menyaksikan pelbagai drama apabila Russell berdepan masalah teknikal apabila sistem DRS gagal berfungsi, diikuti kerosakan paparan elektronik stereng serta isu pada brek elektronik.
Meskipun berdepan isu teknikal, Russell berjaya mempertahankan kedudukan kedua biarpun diasak hebat oleh Norris yang memburu ruang untuk memintas di penghujung perlumbaan.
Kebangkitan ditunjukkan Piastri di Litar Antarabangsa Bahrain itu membuktikan statusnya kini berubah daripada seorang pelumba ‘underdog’ kepada pencabar utama kejuaraan.
Berdasarkan kecemerlangan itu, Piastri bukan sahaja sedang memburu gelaran juara, malah semakin diyakini antara calon paling layak untuk merebut takhta musim ini yang dipegang oleh pelumba sensasi Red Bull, Max Verstappen. – AGENSI