IPOH – Perak hari ini mengibarkan bendera negeri separuh tiang sebagai menghormati pemergian Perdana Menteri Malaysia Ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, langkah itu adalah mengikut titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bagi menzahirkan rasa sedih dan dukacita seluruh rakyat negeri Perak atas pemergian Allahyarham.
“Oleh yang demikian, mohon tindakan dengan serta-merta pada hari ini.
“Kibaran bendera secara separuh tiang ini adalah khusus bagi Bendera Negeri Perak sahaja dan hendaklah dilaksanakan di semua premis kerajaan termasuk kediaman rasmi dan kuarters kerajaan.
“Sehubungan itu, semua jabatan, agensi serta pihak berkaitan adalah dimohon untuk melaksanakan titah ini dengan penuh tertib dan hormat,” katanya. – KOSMO! ONLINE