LONDON – Seorang lelaki yang dipenjarakan kerana membunuh jirannya dengan 20 kali tikaman, mati dibunuh seorang banduan ketika berada di dalam penjara, lapor akhbar The Sun UK semalam.
John Mansfield dipenjara seumur hidup pada 2007 kerana menyerang jirannya, Ann Alfanso, 63.
Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup sekali lagi pada 2014 selepas menikam mati seorang banduan lain menggunakan pinggan pecah semasa mereka bertengkar mengenai periuk memasak.
Pada Ahad lalu, Mansfield diserang oleh banduan lain dan meninggal dunia walaupun terdapat usaha kakitangan penjara untuk menyelamatkannya, lapor akhbar The Daily Telegraph.
Seorang banduan lelaki berumur 44 tahun ditahan kerana disyaki membunuh Mansfield.
Jurucakap Kementerian Kehakiman berkata: “Polis masih menyiasat kematian banduan John Mansfield di penjara HMP Whitemoor pada Ahad, 13 April. Adalah tidak wajar untuk mengulas lanjut pada masa ini.” – AGENSI