BERA – Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama di daerah ini mendakwa menjadi mangsa buli apabila dipaksa menari tarian ‘wadidaw’ selain dicekik hanya kerana berambut panjang.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, bapa remaja itu membuat laporan berhubung kejadian tersebut kelmarin.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga dipanggil ‘roll call’ atas arahan warden asrama bagi tujuan pemeriksaan bilik oleh Persatuan Jabatan Penguasa Asrama (JPA).
“Namun suspek melibatkan lima pelajar telah mengambil alih ‘roll call’ tersebut dan membuli mangsa dengan memaksa remaja tersebut menari ‘wadidaw’ yang sedang tular di media sosial,” katanya di sini hari ini.

Zulkiflee memberitahu, mangsa juga mendakwa dicekik di leher oleh suspek kerana berambut panjang.
Beliau berkata, permohonan untuk menjalankan siasatan telah dibuat pegawai penyiasat kerana kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius kejadian buli di sekolah terutama sekolah berasrama. Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah Bera bagi membanteras gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE