KUALA LUMPUR – Pemergian Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia yang mengenang jasa dan budi baik beliau sepanjang menerajui negara.
Pesara kerajaan, Muhammad Marzuki, 62, berkata, dia tidak dapat melupakan jasa Allahyarham yang pernah membantu menguruskan pemindahan penduduk dari flat Pekeliling ke flat Desa Rejang pada tahun 2006.
“Jasa yang paling saya kenang ialah semasa Pak Lah (Tun Abdullah) sendiri menguruskan hal pemindahan flat Pekeliling ke flat Desa Rejang yang saya tinggal sekarang.
“Pemergian beliau amat memberi kesan kepada saya kerana jasa yang dilakukan itu sangat besar pada ketika itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Masjid Negara di sini hari ini.
Dia antara ribuan orang ramai yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara.
Muhammad berkata, sehingga kini beliau masih menetap di flat Desa Rejang bersama keluarganya.
Sementara itu, penjawat awam, Anuar Mohammad Hanafiah, 56, berkata, dia mengagumi perwatakan Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang prihatin terhadap rakyat.
“Apa yang paling saya kagumi dengan Pak Lah ini, dia tidak memecah belahkan antara kaum. Beliau juga kembali menyatukan orang Melayu dengan UMNO ketika ramai kembali menyokong parti itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aini Salwa Jamaludin, 51, menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh berjiwa Islamik dan memiliki kepimpinan berhemah tinggi.
“Semasa pentadbiran beliau, pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan dan ia memberi impak besar terhadap pembangunan negara secara menyeluruh.
“Nilai-nilai Islam sangat diterapkan dalam urus tadbir negara ketika itu,” ujarnya.
Aini Salwa turut berkongsi kenangan manis apabila berpeluang menyertai satu acara antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun 2006 semasa Allahyarham masih menjadi Perdana Menteri.
“Ia merupakan momen paling dihormati dalam hidup saya dan saya tidak akan lupakan pengalaman itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE