GEORGE TOWN – Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih dikenali sebagai Pak Lah akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang penyayang dan prihatin.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, pemergian Abdullah merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya rakyat Pulau Pinang kerana beliau merupakan anak jati negeri itu yang pertama memegang jawatan Perdana Menteri.
“Saya amat sedih dengan pemergian Abdullah. Saya mengenali beliau sejak 1982 ketika pertama kali bertemu dalam satu perjumpaan calon-calon Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum.
“Ketika itu saya masih baharu dalam dunia politik, Pak Lah telah menunjukkan sikap mesra dan terbuka dan ia memberi kesan mendalam terhadap saya,” katanya di sini hari ini.
Tsu Koon yang juga bekas Presiden Parti Gerakan berkata, Abdullah turut memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu berkaitan pendidikan Cina semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan tidak lama selepas pilihan raya 1982.
“Beliau seorang yang terbuka dan responsif terhadap pandangan rakyat, termasuk dalam isu-isu pendidikan. Sifat ini menjadikan beliau dihormati pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Tsu Koon turut berkongsi kenangan peribadi menyentuh hati bersama Abdullah termasuk satu peristiwa pada tahun 1987 ketika beliau ternampak Pak Lah dan isteri, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood menunggu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Saya sendiri memandu mereka pulang ke rumah di Kepala Batas. Itulah sikap rendah diri yang dimiliki oleh beliau,” katanya. – KOSMO! ONLINE