DOHA – Marc Marquez kembali mencuri tumpuan di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila menutup Grand Prix (GP) Qatar dengan persembahan luar biasa apabila merangkul kejayaan sempurna menerusi perlumbaan utama, sprint serta petak utama.
Litar Antarabangsa Lusail menjadi medan kebangkitan buat juara dunia lapan kali itu yang kini mencatat tiga kemenangan berganda musim ini selepas dominasi hebatnya di Thailand dan Argentina.
Kali ini Marquez tampil dengan pendekatan lebih taktikal apabila memilih beraksi dengan penuh cermat dan mengelak risiko besar di litar yang secara tradisinya tidak begitu serasi dengan gaya tunggangan agresifnya.
“Saya jangka Qatar akan menjadi salah satu hujung minggu paling mencabar, jadi kemenangan ini sangat bermakna buat saya,” ujar Marquez.
Namun, kemenangan itu tidak datang mudah apabila pertarungan sengit termasuk dengan adiknya, Alex Marquez yang terlibat dalam insiden hampir meranapkan harapan mereka.
Alex melanggar bahagian belakang jentera Marquez yang memperlahankan motosikalnya secara mengejut akibat hilang kawalan dan hampir mengubah keseluruhan perlumbaan.
Akibat insiden tersebut, sayap aerodinamik belakang jentera Marquez tercabut, namun dia berjaya mengawal perlumbaan dan mematahkan cabaran hebat daripada Maverick Vinales yang turut mempamerkan tunggangan bertenaga.
Sementara itu, Francesco Bagnaia cuba bangkit dari petak belakang tetapi gagal menyaingi konsistensi dan kepantasan Marquez, manakala beberapa pelumba utama lain seperti Di Giannantonio dan Franco Morbidelli tersingkir disebabkan insiden kemalangan. – AGENSI