PETALING JAYA – Aspiring Lenggong Unesco Global Geopark (aLUGGp) menganjurkan Seminar Antarabangsa 2025 yang julung kali diadakan dan berjaya menghimpunkan lebih 20 pakar geopark tempatan dan antarabangsa, penilai kanan serta pihak berkepentingan utama di Lenggong baru-baru ini.
Seminar selama tiga hari yang bertemakan Di Mana Bumi dan Sejarah Manusia Bertemu itu adalah antara usaha aLuGGp untuk mendapat sokongan bagi permohonan rasmi Lenggong untuk diiktiraf sebagai Unesco Global Geopark (UGGp) di Malaysia.
Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. K. Ching Thoo berkata, pihaknya dan juga kerajaan negeri Perak sedang menerajui usaha untuk mengangkat Lenggong ke pentas pengiktirafan global.
“NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), akan terus komited terhadap kerjasama teknikal seperti pemetaan geologi, penilaian geo-warisan, pemantapan tadbir urus geopark berasaskan nilai saintifik, budaya, sejarah dan estetik.
“Seminar ini juga akan memperkukuh jalinan strategik dan mengukuhkan komitmen bersama untuk menjadikan geopark Malaysia sebagai model pembangunan mampan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Selain itu, Pengerusi Geopark Lenggong, Mohamad Fitri Hassan menjelaskan, Lenggong yang kaya dengan warisan geologi dan budaya mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi geopark yang unik dan menarik.
“Menerusi seminar ini, kita diberi peluang untuk berkongsi pandangan dan kepakaran bersama para pakar dalam bidang geologi, pelancongan dan pembangunan lestari.
“Ia bagi memperkasa dan memajukan Lenggong ke arah pengiktirafan sebagai Unesco Global Geopark.
“Dengan inisiatif kerjasama terjalin antara pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat serta industri pelancongan, misi kita itu akan dapat direalisasikan,” katanya yang juga Pegawai Daerah Hulu Perak. -KOSMO! ONLINE