JAKARTA – Seorang pelajar universiti ditangkap di sebuah masjid kerana menyamar sebagai wanita dengan memakai telekung dan pelitup muka, lapor laman berita Karawang Post hari ini.
Kejadian berlaku di Masjid pusat Islam Kota Mataram, wilayah Nusa Tenggara Barat.
Berdasarkan rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV), lelaki tersebut dilihat memasuki tempat solat wanita dengan memakai telekung dan pelitup muka.
Tindak-tanduk anehnya bagaimanapun menimbulkan curiga dalam kalangan jemaah wanita apabila salah seorang daripada mereka memanggil pengawal keselamatan.
“Walaupun dia memakai pelitup muka, mukanya kelihatan seperti lelaki.
“Tangannya juga terdedah, membuatkan saya mengesyaki dia seorang lelaki,” kata seorang jemaah, Ria.
Dua pengawal keselamatan kemudian tiba lalu menahan lelaki tersebut sebelum mendapati bahawa dia merupakan seorang pelajar universiti di Mataram.
Lelaki tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala motif tindakannya sedang disiasat. – AGENSI